Thursday 1 December 2016

KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN



Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Dalam menuju status negara maju menjelang tahun 2020, negara seharusnya dapat menjadikan sektor pertanian sebagai satu sektor yang penting dalam meningkatkan ekonomi negara serta pembangunan sumber manusia. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju (Abdul Rasid bdul Razzaq, 2009).
Hal ini telah lama berlaku iaitu semenjak negara ini bebas daripada penjajahan negara-negara luar pada tahun 1957. Kegiatan ekonomi utama pada era tersebut adalah aktiviti-aktiviti yang berasaskan pertanian seperti menanam padi, ubi, mengusahakan ladang getah dan sebagainya. Bidang pertanian juga mampu menyediakan peluang pekerjaan yang cukup besar kepada rakyat di negara ini. Sejak zaman dahulu lagi, pertanian merupakan pekerjaan warisan yang menjana ekonomi keluarga, khususnya di negara membangun seperti Malaysia, sektor pertanian menyumbang 50 peratus peluang pekerjaan. Realitinya, masyarakat desa sememangnya bergantung harap kepada sektor ini memandangkan mereka mempunyai tanah yang luas untuk dikerjakan dan tenaga buruh yang mudah didapati. Lagi pula, pekerjaan ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi berbanding kerja profesional dan separuh profesional.
Namun begitu, jika di lihat pada hari ini bidang pertanian semakin dilupakan apabila negara semakin maju dengan kepesatan pembangunan dan peningkatan sektor-sektor lain yang lebih menjana pendapatan negara seperti sektor pelancongan dan perniagaan. Hakikatnya, bidang pertanian mempunyai kepentingannya yang tersendiri dan dapat menjana pendapatan negara dengan lebih banyak berbanding bidang-bidang lain jika dijalankan dengan bersungguh-sungguh. Menurut statistik tanaman yang disediakan oleh Jabatan Pertanian, pendapatan kasar bagi penjualan durian pada tahun 2011 ialah RM503,685 dan semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Pihak kerajaan hendaklah meletakkan sasaran sektor pertanian dalam NKRA negara. Sebenarnya terdapat banyak faedah  kepada semua pihak sekiranya sektor pertanian ini diperkasakan semula. Faedah yang pertama tentulah kepada pihak kerajaan sendiri apabila dapat mewujudkan suatu lagi saluran strategik untuk ekonomi negara. Pihak kerajaan dapat mengurangkan kadar pengaliran wang keluar kerana mengimport barangan makanan khususnya barangan pertanian. Statistik yang dikeluarkan dalam tahun 2013, sejumlah 30 bilion telah dibelanjakan untuk mengimport pelbagai jenis barangan makanan. Selain itu kumpulan yang kedua bakal memperoleh faedah tentulah sektor swasta yang mempunyai hubung kait perniagaan dalam bidang pertanian kerana secara langsung mengeluarkan input-input pertanian seperti pembekal jentera, pengeluar baja, racun dan biji benih akan dapat mengembangkan sayap perniagaan mereka dengan lebih meluas lagi.

No comments:

Post a Comment