Sokongan dan bantuan kerajaan bukan
sahaja kritikal dalam menyokong usaha menjayakan perniagaan yang berasaskan
kepada pertanian malahan mampu mendorong kejayaan pencapaian NKEA yang
ditetapkan kerajaan bagi sektor pertanian. Kerajaan kini dilihat semakin aktif
di dalam merangsang pembangunan sektor pertanian melalui pelbagai
inisiatif. Sebagai contohnya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani telah menubuhkan Pusat Pembangunan
Perniagaan Pertanian dan Makanan (Agri-BDC) iaitu pusat sumber dan maklumat
setempat bagi menyokong dan membangunkan perniagaan dalam bidang pertanian dan
makanan negara (Laporan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,
2016).
Selain daripada itu, kementerian berkenaan juga turut membentuk Skim Galakan dan Intensif bagi memberi bantuan kepada para usahawan dari pelbagai bidang. Skim ini terbahagi kepada dua iaitu Dana Pembangunan yang melibatkan Dana Nelayan LKIM dan Dana Sains serta Insentif Fiskal dan Bukan Fiskal. Skim Technofund yang merupakan skim khas bagi menggalakkan pengunaan tingkat teknologi terbaharu di dalam bidang pertanian juga merupakan gambaran sokongan oleh kerajaan kepada sektor pertanian. Strategi My Kampung My Future yang dilancarkan kementerian juga menzahirkan hakikat bahawa inisiatif seperti Back to the Future in kampung, Agribusiness Competition, 1Kampung 1Mission dan Entertainment and Sports merupakan antara langkah-langkah kerajaan membantu sektor pertanian secara agresif. Akhir sekali, sokongan kerajaan juga digambarkan melalui program MyGap iaitu penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM), Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM).
Menurut Saifuddin Abdullah, (2006) yang juga merupakan
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, belia hari ini kurang berminat dengan
pertanian. Malah, ramai graduan pertanian pun tidak menjadi petani. Oleh yang
demikian, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Jabatan Pendidikan
Teknikal telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan mata pelajaran Sains
Pertanian di peringkat sekolah menengah teknik dan vokasional bertujuan untuk
memberi pengetahuan, pendedahan dan latihan kepada para pelajar dalam bidang
pertanian. Kajian ini dibuat untuk melihat sejauhmana mata pelajaran Sains
Pertanian dapat membina minat serta kerjaya pelajar dalam sektor pertanian
selepas tamat pengajian kelak.
Bagi Fatimah Mohamed Arshad melalui rencananya di dalam
Utusan Malaysia online bertarikh 18 November 2005 menerangkan bahawa Dalam
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerajaan menetapkan untuk mencapai
imbangan positif dalam imbangan pembayaran makanan. Salah satu strategi adalah
dengan mewujudkan persekitaran perniagaan pertanian yang dinamik yang dipandu
oleh usahawan tani. Perkembangan semasa yang berlaku ini, hasil daripada
kesedaran kerajaan bahawa sektor pertanian merupakan tulang belakang ekonomi
negara sejak sekian lama. Oleh itu proses melahirkan usahawan tani seharusnya
melibatkan golongan belia terutamanya yang berpendidikan bagi mengubah persepsi
dan mentaliti belia terhadap bidang pertanian. Belia yang dimaksudkan disini
ditakrifkan sebagai golongan lepasan sekolah yang berusia 18 tahun ke atas
sehingga peringkat awal dewasa iaitu 40 tahun.
Sehubungan
dengan itu, kerajaan Malaysia yang prihatin telah menubuhkan beberapa
agensi-agensi yang berkaitan dan diharap dapat membantu serta meringankan beban
pihak yang memerlukan. Agensi ini berperanan menyokong dengan memberi
pembiayaan kepada pemohon dan calon yang layak seperti TEKUN, MARA, PUNB dan
TABUNG EKONOMI BELIA sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Agensi yang
terlibat memainkan peranan yang sangat penting terutama dalam memberikan
pembiayaan dan modal permulaan dalam sesebuah perniagaan.
Pihak kerajaan juga ada menyenaraikan banyak intensif dan kemudahan bagi
mendorong orang ramai terutamanya anak muda untuk menyertai bidang pertanian.
Kini, mata pelajaran Sains Pertanian turut diperkenalkan di peringkat menengah
atas. Ini adalah untuk menarik minat anak bangsa Malaysia sejak mereka masih
muda lagi. Pihak kerajaan juga ada memperkenalkan pertanian bandaran secara
hidroponik atau secara sistem fertigasi di sekolah-sekolah yang terpilih. Hal
ini untuk menunjukkan bahawa kawasan untuk berkebun tidak terhenti hanya
di ladang atau di rumah saja. Ia juga boleh dikerjakan di sekolah. Pada 8 Mac
yang lalu, sebuah universiti yang menekankan pertanian telah dibuka di Alor
Gajah, Melaka. Universiti yang diberi nama Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM)
dikatakan berpotensi untuk menjadi pemacu kepada inisiatif kerajaan dalam
memastikan bidang pertanian dan perladangan terus relevan pada masa hadapan
serta mampu berkembang seiring kemajuan bidang lain (Utusan Online, 9 Mac
2016).
Kerajaan
juga telah bekerjasama dengan sektor swasta dan badan bukan berkanun kerajaan
(NGO) bagi perlaksanaan program pembangunan belia seperti latihan kepemimpinan
dan kemahiran serta kemahiran keusahawanan. Selain itu, untuk memperkukuhkan
lagi pengurusan dan keupayaan pelaksanaan, agensi sektor awam yang
bertangggungjawab telah melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional
pada tahun 2004 yang memberi penekanan kepada 11 unsur teras dalam pembangunan
belia yang merangkumi kesejahteraan sosioekonomi, bina upaya, kualiti
kepimpinan, penyertaan dalam Program Rakan Muda , integrasi sosial dan
kesedaran politik di kalangan belia.![]() |
FELDA |
No comments:
Post a Comment