Wednesday 30 November 2016

KESIMPULAN



   

Kesimpulannya, sektor pertanian akan lebih berkembang pesat jika semua pihak berusaha untuk memajukan sektor ini. Penganjuran MAHA 2008 contohnya, merupakan komitmen kerajaan dan agensi swasta untuk melonjak pendapatan negara melalui sektor pertanian dan asas tani selain berobjektifkan menarik minat rakyat negara ini menceburkan diri dalam bidang ini.Oleh itu, usaha yang bersungguh-sungguh untuk maju dalam bidang ini amat perlu dalam kalangan rakyat negara ini kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Sesungguhnya gandingan mantap semua pihak seperti aur dengan tebing akan dapat merealisasikan impian negara untuk meningkatkan hasil pertanian negara.

BANTUAN KERAJAAN DAN SOKONGAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN.




Kebelakangan ini sektor pertanian bukan lagi bidang yang dipandang rendah oleh seluruh masyarakat sama ada masyarakat Malaysia atau masyarakat lain di dunia. Bidang pertanian telah menjadi penyumbang utama pembangunan negara sehingga boleh diterjemahkan sebagai berdiri sama tingggi, duduk sama rendah dengan sektor-sektor lain di negara ini. Sektor ini telah berjaya melonjakkan nama Malaysia ke persada antarabangsa sehingga mencatat Keluaran Dalam Neagara Kasar (KDNK) sebanyak 13 % iaitu menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM 14 bilion pada tahun 2007. Sebagai contoh, negara ini telah menjadi pengeksport terbesar kelapa sawit, getah dan sebagainya. Walau bagaimanapun langkah-langkah jitu perlu terus dilakukan untuk meningkatkan sektor pertanian ini.

Bantuan kerajaan yang utama untuk meningkat sektor pertanian ini ialah kerajaan perlu membuka kawasan pertanian baru. Hal ini demikian kerana pembukaan tanah pertanian baru akan dapat meningkatkan jumlah pengeluaran hasil pertanian. Kerajaan boleh memberi tanah rizab kerajaan kepada pihak-pihak tertentu seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk membuka dan meneroka kawasan baru bagi tujuan aktiviti pertanian. Era ini, FELDA telah berjaya membuka beberapa kawasan pertanian secara komersial contohnya, di FELDA Kemahang Kelantan, FELDA Taib Andak Johor, dan sebagainya. Kerajaan juga boleh menggalakkan pengusaha membuka lebih banyak kawasan penternakan haiwan seperti ayam, kambing, lembu, dan sebagainya.  Bidang penternakan ini juga akan membuahkan hasil yang lumayan. Walau bagaimanapun petani jangan mudah gelap mata dengan peningkatan pendapatan tersebut kerana usaha berterusan amat perlu dan jangan hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam . Oleh itu, penambahan pembukaan kawasan pertanian yang baru akan dapat meningkatkan kuantiti pertanian dan seterusnya meningkatkan pendapatan negara. 

Selain itu, bantuan kerajaan dari aspek penyelidikan  dan    pembangunan secara santifik juga perlu bagi meningkatkan hasil pertanian negara.  Penyelidikan yang tepat akan berjaya menghasilkan kualiti benih yang bermutu dan tahan penyakit. Benih yang berkualiti akan menghasilkan tanaman yang berkualiti dan seterusnya dapat dipasarkan untuk pasaran dalam dan luar negara. Penyelidikan boleh dijalankan melalui kacukan biji benih dari pokok induk yang baik bakanya seterusnya membuat pengklonisasi untuk memastikan kuantiti tanaman mencukupi dalam satu masa dan memelihara kualiti hasil tanaman. Dalam usaha merealisasikannya, pihak bertanggungjawab seperti Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) perlu turun padang dan jangan hanya sekadar ringan mulut, berat punggung sahaja. Pihak-pihak yang terlibat ini perlu sentiasa membuat penyelidikan bagi meningkatkan hasil pertanian dan mengawal kualiti sama ada tanaman atau ternakan.Tegasnya, penyelidikan adalah amat penting bagi memastikan pengeluaran biji benih yang sihat dan menjurus kepada penghasilan tanaman yang terbaik. 

Bantuan kerajaan seterusnya yang boleh diambil untuk meningkatkan pendapatan dalam sektor ini adalah dengan memberi kemudahan kredit kepda para petani atau pengusaha. Hal ini demikian kerana faktor utama sektor ini kurang berkembang berbanding negara-negara pertanian lain seperti Thailand dan Filipina, disebabkan hampir semua petani dan pengusaha di negara ini dihambat kemiskinan dan kekurangan modal. Implikasinya, mereka tidak mampu membeli dan memiliki jentera-jentera canggih , benih-benih yang bermutu, dan memperluas tanah pertanian. Bertitik tolak daripada itu, kerajaan telah memberikan peruntukan dan amanah yang besar kepada Agro Bank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) agar dapat membantu lebih ramai pengusaha dan petani memperluas aktiviti memproses hasil pertanian dan meningkatkan kegiatan pertanian mereka.

Slogan Kementerian Pertanian Malaysia “ Pertanian adalah Perniagaan” amat wajar dihayati dan diamalkan oleh para petani. Sebagai contoh, pemberian pinjaman oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab akan memberi peluang kepada petani membeli tanah untuk pertanian dan juga membeli pelbagai kemudahan asas pertanian. Pertanian secara komersial dapat dijalankan lantaran pelbagai kemudahan kredit yang diberi. Oleh itu, pemberian kemudahan kredit kepada para pengusaha, produktiviti pertanian dapat ditingkatkan dan seterusnya sektor pertanian negara akan sentiasa berkembang.

    Sokongan

Agensi-agensi kerajaan juga turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil pertanian. Hal ini demikian kerana, masyarakat kita hari ini masih dangkal tentang pertanian moden. Agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Beras dan Padi Negara (LPN), Pihak Berkuasa Pekebun Kecil (RISDA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merupakan penggerak kepada petani. Mereka menggalakkan masyarakat terlibat dalam bidang pertanian dengan cara menyediakan khidmat kursus dan latihan, memberi pinjaman modal, dan mempromosikan hasil pertanian. Sebagai contoh, pada Julai 2008, pihak RISDA telah mengadakan satu kursus kepada para belia bagi menggalakkan mereka terlibat secara giat dalam sektor ini. Minat para belia mesti dipupuk kerana tak kenal maka tak cinta. Hal ini demikian kerana, sumbangan belia dalam sektor ini akan mencorakkan sektor pertanian negara. Tegasnya, agensi-agensi kerajaan memainkan peranan penting bagi meningkatkan hasil pertanian Negara.

             Wahana penting negara mudah disebarkan melalui media massa. Dalam hal ini media massa memainkan peranan penting dalam usaha menyampaikan maklumat mutakhir tentang sebarang visi dan misi kerajaan. Begitu juga peranan media massa dalam usaha meningkatkan hasil pertanian negara. Impak positifnya amat jelas kerana media massa merupakan medium penyebaran maklumat yang berkesan. Media cetak atau media elektronik mestilah memainkan peranan masing-masing dengan memberi pendedahan ilmu pertanian kepada petani dan masyarakat setempat. Media massa contohnya Radio dan Televisyen Malaysia ( RTM ) perlu mengatur dan merancang program-program yang memaparkan kepentingan sektor pertanian terhadap pembangunan negara. Pelbagai program khas yang memaparkan kaedah-kaedah pertanian yang efektif hendaklah diketengahkan bagi membantu para petani dan usahawan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pertanian mereka. Selain itu, segmen-segmen usahawan berjaya juga perlu diterap dalam program tersebut.Matlamat utama program tersebut, diharapkan para penonton akan lebih berminat menceburkan diri dalam sektor ini kerana mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Sebagai contoh, program-program yang sering dipaparkan adalah seperti Agrojurnal, Agrotek, Usahawan Muda dan sebagainya. Tegasnya, peranan media massa tidak kurang pentingnya dalam usaha meningkatkan sektor pertanian negara.

CABARAN/HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN



           

   Perubahan iklim dunia secara mendadak berupaya menjejaskan jaminan bekalan makanan dunia dan merupakan cabaran utama dalam bidang pertanian. Kenyataan ini boleh dibuktikan melalui laporan Perkembangan Ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu “pertumbuhan dalam sektor pertanian menguncup 3.8% (S4 2015 : 1.5%), terutama mencerminkan pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah, berikutan fenomena cuaca El Nino yang menjejaskan hasil tanaman.”

Faktor bencana alam seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh mempengaruhi jumlah pengeluaran semasa dan lebih teruk lagi pengusaha terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat kemusnahan tanaman. Turut memetik kenyataan Pengarah Pertanian Terengganu, Encik Yusof Maidin kepada akhbar Sinar Harian online pada 3 Februari 2013, bencana banjir di Terengganu memusnahkan tanaman seluas 688 hektar dengan kerugian lebih RM1.7 juta, membabitkan lebih 12,000 petani. Tanaman paling banyak terjejas adalah padi meliputi kawasan seluas 275.5 hektar, diikuti tanaman kontan (149.82 hektar), sayur-sayuran (115.38 hektar) dan pokok buah-buahan (103 hektar). Selain tanaman, banjir itu turut memusnahkan peralatan dan mesin pemprosesan mengakibatkan kerugian RM42,000.00 kepada 10 pengusaha.

Masalah kekurangan tanah yang sesuai untuk tujuan pertanian komersil berskala besar. Melalui kajian tapak yang dijalankan oleh Rafiqah Mat dan Aziz Abdul Majid (2015) mendapati “pengusaha pertanian menghadapi halangan atau masalah yang berkaitan dengan tanah seperti keluasan tanah yang tidak ekonomik, kekurangan tanah kosong, tanah yang kurang sesuai untuk pertanian dan masalah sewa tanah”. (hlmn. 51).

Saiz tanah yang terhad hanya menghasilkan jumlah pengeluaran berskala kecil sahaja dan menampung keperluan di pasar-pasar dan kedai-kedai sekitar nya. Hal ini tidak membantu meningkatkan julat keuntungan kepada pengusaha, sebaliknya pendapatan yang statik ditambah pula beban kos utiliti yang saban hari semakin tinggi, hanya mengundang kepada masalah baru iaitu peningkatan harga makanan dan harga barangan.

Di peringkat antarabangsa pula kedudukan sektor pertanian negara menjadi semakin mencabar dengan terbentuknya WTO di mana liberalisasi perdagangan antarabangsa menyebabkan persaingan semakin sengit. Sektor pertanian negara terancam sekiranya tidak bersedia meningkatkan daya pengeluaran untuk memperolehi daya saing yang lebih tinggi.

POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN



   

 Bidang pertanian berpotensi sebagai perniagaan yang menguntungkan dan merupakan perkara yang menjadi asas pegangan petani atau sesiapa sahaja yang mengusahakan bidang pertanian itu sendiri. Bidang pertanian dilihat berpotensi tinggi untuk dibawa ke peringkat antarabangsa kerana hasil keluarannya mempunyai kualiti yang tinggi dan setanding dengan negara-negara pertanian yang lain. Malaysia juga mampu mengeksport dan menghasilkan tanaman dalam kuantiti yang banyak kerana tanah di Malaysia sangat subur, luas dan sesuai untuk bidang pertanian.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama-sama jabatan dan agensi kerajaan dibawahnya perlu merancang dan melaksanakan program seperti program turun padang bersama petani-petani untuk memberi sokongan dan mendengar permasalahan petani. Dengan adanya perancangan dan program seumpama itu, ia mampu memajukan kumpulan sasaran iaitu para petani dan pengusahanya.

Mentransformasikan bidang pertanian adalah amat penting bagi meningkatkan potensi dalam bidang tersebut. Kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam memajukan sektor pertanian dengan menyediakan tempat atau kawasan sesuai untuk dimajukan samada di darat dan laut. Bidang kuasa yang terlibat adalah Kerajaan Negeri dimana jika Jabatan Perikanan merancang untuk membangunkan Zon Industri Akuakultur sudah tentulah kawasan atau tempat tersebut di bawah selian Kerajaan Negeri yang terlibat.

Aspek kualiti dan keselamatan juga perlu dititikberatkan kerana apabila hasil pengeluaran yang bermutu tinggi dan kebersihan diutamakan maka permintaan terhadap pasaran tempatan dan antarabangsa akan meningkat serta memperolehi harga yang tinggi. Untuk memenuhi permintaan pasaran, beberapa tindakan perlu dilakukan seperti pelebelan, penggredan dan pembungkusan bagi menepati piawaian-piawaian antarabangsa. Program kualiti juga perlu dilaksanakan oleh jabatan dan agensi yang terlibat bagi memberi pemahaman kepada pengusaha.

KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN



Menurut Ashriq Fahmy Ahmad (2012), sektor pertanian ini kebiasaannya hanya dipelopori oleh para petani secara kecil-kecilan dan kurang diminati oleh segolongan besar rakyat Malaysia. Berbeza pula dengan apa yang dapat kita lihat pada tahun 2016 dimana rata-rata anak muda semakin giat mengusahakan bidang pertanian ini sebagai sesuatu yang dilihat mempunyai potensi dalam memberi pulangan yang lumayan. Disebabkan itu juga, bagi meningkatkan kesedaran dikalangan rakyat negara Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) bersama Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Program Cabaran Siswatani 2011.

Di Malaysia, industri pertanian ini mula dibangunkan secara lebih proaktif pada era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi Rancangan Malaysia (ke-5).  Pada ketika ini, Malaysia telah dapat membangun dengan pesat seiring dengan kemajuan dalam industri pertanian. 

   Selepas negara mencapai kemerdekaan, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara pertanian. Aktiviti ekonorni negara pada masa itu sangat bergantung kepada sektor pertanian dan perlombongan. Sejarah mencatatkan, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK pada tahun 1957 ialah sebanyak 46%. Keadaan ini telah berubah pada tahun 2003 di mana sumbangan sektor pertanian kepada KDNK adalah 8.45% pada masa yang sama negara kita kini terkenal sebagai sebuah negara pengeluar produk pembuatan. Bilangan pekerja sektor pertanian pada tahun 1966 ialah 80.3% daripada keseluruhan jumlah pekerjaan berbanding 14.9% untuk tahun 2002.
Semenjak tahun 1984, tiga Dasar Pertanian Negara telah digubal untuk memajukan sektor pertanian iaitu Dasar Pertanian Negara Pertama (1984-1991) yang memberi penekanan untuk membangunkan sektor pertanian yang berorientasikan eksport, Dasar Pertanian Negara Kedua (1992-1997) yang memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) untuk meningkatkan dayasaing sektor pertanian berikutan liberalisasi perdagangan antarabangsa.

Mengurang kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan. Malaysia antara negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji. Oleh yang demikian, kerajaan berusaha menghasilkan padi dua kali setahun untuk menampung permintaan masyarakat, selain berusaha mengurangkan import beras dari Thailand. Realitinya, kerajaan mahu mengurangkan kebergantungan kepada negara luar, memandangkan padi sawah boleh ditanam di negara ini. Maka, tidak hairanlah apabila kerajaan sedang berusaha mencari inisiatif supaya padi dapat ditanam lima kali setahun. Tambahan pula, kadar pertumbuhan penduduk negara yang semakin pesat mendesak sektor ini tidak boleh dipandang enteng. Secara tidak langsung, pengaliran wang ke luar negara dapat dikurangkan, di samping menimbangi imbangan pembayaran negara melalui hasil eskport yang semakin bertambah. Pertanian juga dilihat sebagai salah satu cara untuk menggalakkan pengaliran wang masuk melalui pengeksportan hasil pertanian ini ke negara-negara luar.

Selain itu, sektor ini mampu menyediakan peluang pekerjaan yang cukup besar kepada masyarakat. Di negara membangun seperti Malaysia, sektor pertanian menyumbang 50 peratus peluang pekerjaan. Perlu diingat bahawa definisi pekerjaan dalam sektor pertanian bukan sahaja bekerja di ladang, malahan meliputi pemprosesan dan pemasaran. Realitinya, masyarakat desa sememangnya bergantung harap kepada sektor ini memandangkan mereka mempunyai tanah yang luas untuk dimajukan dan tenaga buruh yang mudah diperolehi. Lagi pula, pekerjaan ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi berbanding kerja profesional dan separuh profesional. Malah sektor ini boleh diibaratkan bulan jatuh ke riba kepada golongan kurang terpelajar untuk tidak bergelar penganggur.

Pertanian juga turut memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha yang melakukannya. Pengeluaran pertanian harus menepati aspek pemprosesan, penggredan, pembungkusan, keselamatan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan kerana menerusi cara ini pengusaha pertanian mendapat jaminan pasaran tempatan dan luar negara, memperolehi harga yang lebih tinggi dan seterusnya memperolehi pendapatan yang lebih baik.

Dengan menceburi bidang pertanian, secara tidak langsung akan dapat membantu negara memenuhi keperluan bahan makanan sekaligus mengelakkan krisis makanan daripada berlaku. Dengan bilangan penduduk Malaysia yang dianggarkan seramai 28.6 juta penduduk pada tahun 2010 dan dijangka meningkat sehingga 30.5 juta penduduk menjelang tahun 2020, tentunya keperluan makanan akan semakin meningkat. Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan sebab mengapa terjadinya krisis kekurangan makanan di dunia. Keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kekurangan sumber-sumber adalah amat membimbangkan. Selain daripada isu pertambahan penduduk, faktor lain yang membawa kepada masalah kekurangan makanan adalah berpunca daripada kejadian bencana alam yang berterusan. Apabila terjadinya bencana alam, ladang-ladang pertanian akan musnah dan ada yang terpaksa menukar tanah-tanah pertanian menjadi kawasan penempatan penduduk. Akibatnya keluasan tanah-tanah pertanian menjadi semakin kecil. Perubahan cuaca yang ekstrem di sesetengah negara juga boleh menjadi sebab keperluan bahan makanan semakin berkurangan. Krisis makanan juga pernah berlaku di Malaysia pada bulan Mac dan April tahun 2008. Krisis ini terjadi apabila kekurangan beras dan kenaikan harga minyak mentah global. Ternyata, ia telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat apabila inflasi berlaku dan harga keperluan makanan naik dengan mendadak.

Pertanian juga dapat dijadikan perniagaan apabila konsep agro-pelancongan atau juga dikenali agrotourism diterapkan. Agro-pelancongan dibangunkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu dari aspek promosi. Ia adalah satu konsep pelancongan yang semakin berkembang kerana Malaysia kaya dengan keindahan alam semulajadinya. Pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan disediakan kepada para pelancong. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agro-pelancongan ini adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, homestay dan sebagainya. Situasi ini boleh dilihat berlaku ketika musim buah dan menuai di mana pelbagai acara festival dianjurkan bagi tujuan berhibur dan mendidik masyarakat. Felda Residence Tekam yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR), Jerantut, Pahang adalah antara contoh pusat peranginan agro-pelancongan yang sesuai untuk dikunjungi. Selain menjadi pusat pelancongan berasas pertanian, resort juga turut menyediakan lawatan ke ladang buah-buahan di kawasan itu.