Wednesday, 30 November 2016

CABARAN/HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN



           

   Perubahan iklim dunia secara mendadak berupaya menjejaskan jaminan bekalan makanan dunia dan merupakan cabaran utama dalam bidang pertanian. Kenyataan ini boleh dibuktikan melalui laporan Perkembangan Ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu “pertumbuhan dalam sektor pertanian menguncup 3.8% (S4 2015 : 1.5%), terutama mencerminkan pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah, berikutan fenomena cuaca El Nino yang menjejaskan hasil tanaman.”

Faktor bencana alam seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh mempengaruhi jumlah pengeluaran semasa dan lebih teruk lagi pengusaha terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat kemusnahan tanaman. Turut memetik kenyataan Pengarah Pertanian Terengganu, Encik Yusof Maidin kepada akhbar Sinar Harian online pada 3 Februari 2013, bencana banjir di Terengganu memusnahkan tanaman seluas 688 hektar dengan kerugian lebih RM1.7 juta, membabitkan lebih 12,000 petani. Tanaman paling banyak terjejas adalah padi meliputi kawasan seluas 275.5 hektar, diikuti tanaman kontan (149.82 hektar), sayur-sayuran (115.38 hektar) dan pokok buah-buahan (103 hektar). Selain tanaman, banjir itu turut memusnahkan peralatan dan mesin pemprosesan mengakibatkan kerugian RM42,000.00 kepada 10 pengusaha.

Masalah kekurangan tanah yang sesuai untuk tujuan pertanian komersil berskala besar. Melalui kajian tapak yang dijalankan oleh Rafiqah Mat dan Aziz Abdul Majid (2015) mendapati “pengusaha pertanian menghadapi halangan atau masalah yang berkaitan dengan tanah seperti keluasan tanah yang tidak ekonomik, kekurangan tanah kosong, tanah yang kurang sesuai untuk pertanian dan masalah sewa tanah”. (hlmn. 51).

Saiz tanah yang terhad hanya menghasilkan jumlah pengeluaran berskala kecil sahaja dan menampung keperluan di pasar-pasar dan kedai-kedai sekitar nya. Hal ini tidak membantu meningkatkan julat keuntungan kepada pengusaha, sebaliknya pendapatan yang statik ditambah pula beban kos utiliti yang saban hari semakin tinggi, hanya mengundang kepada masalah baru iaitu peningkatan harga makanan dan harga barangan.

Di peringkat antarabangsa pula kedudukan sektor pertanian negara menjadi semakin mencabar dengan terbentuknya WTO di mana liberalisasi perdagangan antarabangsa menyebabkan persaingan semakin sengit. Sektor pertanian negara terancam sekiranya tidak bersedia meningkatkan daya pengeluaran untuk memperolehi daya saing yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment