Kebelakangan ini sektor pertanian
bukan lagi bidang yang dipandang rendah oleh seluruh masyarakat sama ada
masyarakat Malaysia atau masyarakat lain di dunia. Bidang pertanian telah
menjadi penyumbang utama pembangunan negara sehingga boleh diterjemahkan
sebagai berdiri sama tingggi, duduk sama rendah dengan sektor-sektor lain di
negara ini. Sektor ini telah berjaya melonjakkan nama Malaysia ke persada
antarabangsa sehingga mencatat Keluaran Dalam Neagara Kasar (KDNK) sebanyak 13
% iaitu menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM 14 bilion pada tahun
2007. Sebagai contoh, negara ini telah menjadi pengeksport terbesar kelapa
sawit, getah dan sebagainya. Walau bagaimanapun langkah-langkah jitu perlu
terus dilakukan untuk meningkatkan sektor pertanian ini.
Bantuan kerajaan yang
utama untuk meningkat sektor pertanian ini ialah kerajaan perlu membuka kawasan
pertanian baru. Hal ini demikian kerana pembukaan tanah pertanian baru akan
dapat meningkatkan jumlah pengeluaran hasil pertanian. Kerajaan boleh memberi
tanah rizab kerajaan kepada pihak-pihak tertentu seperti Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan (FELDA) untuk membuka dan meneroka kawasan baru bagi tujuan
aktiviti pertanian. Era ini, FELDA telah berjaya membuka beberapa kawasan
pertanian secara komersial contohnya, di FELDA Kemahang Kelantan, FELDA Taib
Andak Johor, dan sebagainya. Kerajaan juga boleh menggalakkan pengusaha membuka
lebih banyak kawasan penternakan haiwan seperti ayam, kambing, lembu, dan
sebagainya. Bidang penternakan ini juga
akan membuahkan hasil yang lumayan. Walau bagaimanapun petani jangan mudah
gelap mata dengan peningkatan pendapatan tersebut kerana usaha berterusan amat
perlu dan jangan hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam . Oleh itu, penambahan
pembukaan kawasan pertanian yang baru akan dapat meningkatkan kuantiti
pertanian dan seterusnya meningkatkan pendapatan negara.
Selain
itu, bantuan kerajaan dari aspek penyelidikan
dan pembangunan secara santifik
juga perlu bagi meningkatkan hasil pertanian negara. Penyelidikan yang tepat akan berjaya
menghasilkan kualiti benih yang bermutu dan tahan penyakit. Benih yang
berkualiti akan menghasilkan tanaman yang berkualiti dan seterusnya dapat
dipasarkan untuk pasaran dalam dan luar negara. Penyelidikan boleh dijalankan
melalui kacukan biji benih dari pokok induk yang baik bakanya seterusnya
membuat pengklonisasi untuk memastikan kuantiti tanaman mencukupi dalam satu
masa dan memelihara kualiti hasil tanaman. Dalam usaha merealisasikannya, pihak
bertanggungjawab seperti Malaysian Agricultural Research and Development
Institute (MARDI) perlu turun padang dan jangan hanya sekadar ringan mulut,
berat punggung sahaja. Pihak-pihak yang terlibat ini perlu sentiasa membuat
penyelidikan bagi meningkatkan hasil pertanian dan mengawal kualiti sama ada
tanaman atau ternakan.Tegasnya, penyelidikan adalah amat penting bagi
memastikan pengeluaran biji benih yang sihat dan menjurus kepada penghasilan
tanaman yang terbaik.
Bantuan
kerajaan seterusnya yang boleh diambil untuk meningkatkan pendapatan dalam
sektor ini adalah dengan memberi kemudahan kredit kepda para petani atau
pengusaha. Hal ini demikian kerana faktor utama sektor ini kurang berkembang
berbanding negara-negara pertanian lain seperti Thailand dan Filipina,
disebabkan hampir semua petani dan pengusaha di negara ini dihambat kemiskinan
dan kekurangan modal. Implikasinya, mereka tidak mampu membeli dan memiliki
jentera-jentera canggih , benih-benih yang bermutu, dan memperluas tanah
pertanian. Bertitik tolak daripada itu, kerajaan telah memberikan peruntukan
dan amanah yang besar kepada Agro Bank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia
(FAMA) agar dapat membantu lebih ramai pengusaha dan petani memperluas aktiviti
memproses hasil pertanian dan meningkatkan kegiatan pertanian mereka.
Slogan
Kementerian Pertanian Malaysia “ Pertanian adalah Perniagaan” amat wajar dihayati dan
diamalkan oleh para
petani. Sebagai contoh, pemberian pinjaman oleh pihak-pihak yang
bertanggungjawab akan memberi peluang kepada petani membeli tanah untuk
pertanian dan juga membeli pelbagai kemudahan asas pertanian. Pertanian secara
komersial dapat dijalankan lantaran pelbagai kemudahan kredit yang diberi. Oleh
itu, pemberian kemudahan kredit kepada para pengusaha, produktiviti pertanian
dapat ditingkatkan dan seterusnya sektor pertanian negara akan sentiasa
berkembang.
Sokongan
Agensi-agensi
kerajaan juga turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil
pertanian. Hal ini demikian kerana, masyarakat kita hari ini masih dangkal
tentang pertanian moden. Agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Beras dan Padi
Negara (LPN), Pihak Berkuasa Pekebun Kecil (RISDA), Lembaga Pertubuhan Peladang
(LPP) merupakan penggerak kepada petani. Mereka menggalakkan masyarakat
terlibat dalam bidang pertanian dengan cara menyediakan khidmat kursus dan
latihan, memberi pinjaman modal, dan mempromosikan hasil pertanian. Sebagai
contoh, pada Julai 2008, pihak RISDA telah mengadakan satu kursus kepada para
belia bagi menggalakkan mereka terlibat secara giat dalam sektor ini. Minat
para belia mesti dipupuk kerana tak kenal maka tak cinta. Hal ini demikian
kerana, sumbangan belia dalam sektor ini akan mencorakkan sektor pertanian
negara. Tegasnya, agensi-agensi kerajaan memainkan peranan penting bagi
meningkatkan hasil pertanian Negara.
Wahana
penting negara mudah disebarkan melalui media massa. Dalam hal ini media massa
memainkan peranan penting dalam usaha menyampaikan maklumat mutakhir tentang
sebarang visi dan misi kerajaan. Begitu juga peranan media massa dalam usaha
meningkatkan hasil pertanian negara. Impak positifnya amat jelas kerana media
massa merupakan medium penyebaran maklumat yang berkesan. Media cetak atau
media elektronik mestilah memainkan peranan masing-masing dengan memberi
pendedahan ilmu pertanian kepada petani dan masyarakat setempat. Media massa
contohnya Radio dan Televisyen Malaysia ( RTM ) perlu mengatur dan merancang
program-program yang memaparkan kepentingan sektor pertanian terhadap
pembangunan negara. Pelbagai program khas yang memaparkan kaedah-kaedah
pertanian yang efektif hendaklah diketengahkan bagi membantu para petani dan
usahawan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pertanian mereka. Selain
itu, segmen-segmen usahawan berjaya juga perlu diterap dalam program
tersebut.Matlamat utama program tersebut, diharapkan para penonton akan lebih
berminat menceburkan diri dalam sektor ini kerana mata pena lebih tajam
daripada mata pedang. Sebagai contoh, program-program yang sering dipaparkan
adalah seperti Agrojurnal, Agrotek, Usahawan Muda dan sebagainya. Tegasnya,
peranan media massa tidak kurang pentingnya dalam usaha meningkatkan sektor
pertanian negara.
No comments:
Post a Comment