Tuesday, 29 November 2016

PENGENALAN (Md Azizi Bin Ab Ghapar 241990)





Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang amat penting di negara ini dan sektor ini merupakan penyumbang utama pembangunan Negara.  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), ‘pertanian’ yang terhasil dari kata nama tani bermaksud perihal bertani (tanam-menanam) atau perusahaan bercucuk tanam. Pertanian merupakan satu bentuk kegiatan penanaman tumbuhan dan pokok-pokok yang mampu memberikan hasil kepada manusia. Sumber ini merupakan salah satu ciptaan Allah SWT kepada manusia sebagai punca rezeki yang boleh dikategorikan kepada beberapa jenis penghasilan seperti sumber makanan, bahan mentah untuk pembuatan rumah, perabot, alat tulis, kertas dan pelbagai lagi. Bidang pertanian juga merupakan satu bidang yang tidak pernah terhenti prosesnya memandangkan keperluan kepada penghasilannya adalah tinggi.

Menurut Mohammad Shukri Majalin (2011), mendefinisikan bidang atau sektor pertanian sebagai satu sektor yang mampu menjana pendapatan negara serta merupakan salah satu sektor penting dalam hala tuju pembangunan atau ekonomi negara Malaysia amnya.  Selain itu, pertanian merupakan aktiviti ekonomi dunia yang paling penting..  Oleh itu, pertanian tidak lagi boleh diasingkan  dari kehidupan manusia di muka bumi apabila manusia yang semakin ramai dan mempunyai pelbagai citarasa. 

Slogan ‘pertanian adalah perniagaan usahawan’ sememangnya ada kebenaran..  Situasi yang membolehkan aktiviti pertanian itu menjadi satu perniagaan boleh terjadi apabila pengeluaran hasil pertanian pekebun atau peniaga ini tadi bukan sahaja telah melebihi keperluan sara hidup diri malahan telah dapat memberi keuntungan kepada pengusahanya tadi.  ‘Pertanian adalah perniagaan’ juga merupakan visi yang sangat popular.  Ia bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara perindustrian kepada sebuah negara pertanian.  Dengan melakukan aktiviti-aktiviti berasaskan pertanian, seseorang itu mampu menjana pendapatan yang lebih besar dan bukan sekadar untuk keperluan diri sahaja malah untuk keperluan Negara sendiri.  Persepsi rakyat terhadap sektor pertanian juga perlu diubah.  Rakyat perlu lebih berani mengambil risiko dan mula berbakti kepada tanah.  Pertanian perlu diceburi oleh segenap lapisan umur dan bukan hanya petani-petani yang sudah lanjut usianya pada zaman sekarang.

No comments:

Post a Comment