Sumbangan Industri Pelancongan terhadap pembangunan ekonomi negara.
Industri pelancongan telah memberi sumbangan ketara
kepada ekonomi negara sejak pengenalan Program Transformasi Negara (NTP), kata
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau berkata, sektor pelancongan
negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan
sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar
(GDP) pada tahun 2014. "Walaupun suatu tahun penuh duka sengsara yang
menyaksikan dunia bersedih dengan kita namun industri pelancongan kita masih
mampu menarik 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion.
"Ini adalah angka sihat yang kita tidak gentar untuk didedahkan,"
kata perdana menteri dalam blognya NajibRazak.com hari ini. "Bagaimanapun,
kesan daripada pelancongan melangkaui ketibaan pelancong atau pendapatan
daripada pelancong...apabila kesannya adalah paling penting dalam pembangunan
masyarakat dan ekonomi yang mampan," katanya. Sejak pengenalan NTP,
industri pelancongan telah memainkan peranan dalam membuka peluang baharu untuk
rakyat Malaysia dan oleh itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian
Pelancongan dan Kebudayaan atas kempen promosi yang agresif di luar negara.
Justeru, katanya, hasil daripada kempen promosi tersebut, negara tidak lagi
dikenali sebagai 'negara antara Singapura dan Thailand.' "Kempen promosi
telah berjaya menampilkan keunikan, keharmonian dan kepelbagaian kita. Kita
adalah negara contoh sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan sederhana.
"Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2015 pada 27 September dengan tema '1
Bilion Pelancong, 1 Bilion Peluang' telah memberi semangat kepada hala tuju
Malaysia ke arah 2020," katanya. Menurutnya, sektor pelancongan secara
langsung memanfaatkan rakyat Malaysia pada tahun lepas dengan industri itu
menarik pelaburan sebanyak RM19.4 bilion serta mewujudkan sejumlah 1.77 juta
peluang pekerjaan. Dalam merealisasikan potensi yang dimiliki Malaysia daripada
keindahan pulau-pulau Borneo sehingga ke hutan tropika dan syurga
membeli-belah, kerajaan akan menjadikan industri pelancongan sebagai sempadan
baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, kata Najib. Menurutnya
pengumuman langkah-langkah proaktif ekonomi baru-baru ini telah menyaksikan
peruntukan tambahan RM80 juta untuk memperhebatkan aktiviti promosi di pasaran
terpilih termasuk di negara-negara ASEAN, China dan India. Katanya, ia
melibatkan program membangunkan produk ikonik termasuk memberi nahas baharu
kepada Muzium Negara, Tugu Negara dan Taman Tasik Perdana, menjadikan ia lebih
menarik dan mudah dikunjungi oleh pelawat. "Pada 2017, Malaysia akan memiliki
resort destinasi bersepadu paling menarik, Desaru Coast Destination. Ia
menawarkan kehidupan mewah dan aktiviti santai dengan merangkumi hotel dan
resorts mewah, lapangan golf, perkampungan membeli-belah, taman tema air dan
sebuah pusat persidangan," katanya. Najib juga menyentuh pelbagai produk
pelancongan lain seperti Mahsuri di Langkawi, Tokong Kek Lo Si di Pulau Pinang,
Kesultanan Melayu dan warisan Peranakan di Melaka serta tapak warisan dunia,
Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu di Sabah. Beliau juga
berkata, Malaysia juga menjadi tuan rumah bagi acara-acara menarik seperti
perlumbaan Grand Prix F1, perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) dan
acara terjunan bebas, KL Tower Base Jump. Perdana Menteri berkata, tinjauan oleh
sumber-sumber bebas Itali pada Ekspo Milano di Itali, yang dikunjungnya
baru-baru ini, menunjukkan Malaysia menghuni ranking ketiga dari segi destinasi
paling digemari oleh pelancong pada ekspo itu. "Ini, saya percaya ia
adalah petanda yang kukuh dan positif bagi industri pelancongan Malaysia,"
katanya. Najib berkata semasa mula mengambil alih jawatan perdana menteri,
Malaysia ketika itu berdepan dengan cabaran untuk mempunyai sumber pendapatan
lestari bagi mentadbir negara dengan kebergantungan terhadap minyak adalah pada
kadar 41.3 peratus dan bekalan minyak diramal hanya dapat bertahan selama 15
tahun. Justeru, katanya beliau memulakan NTP dengan visi untuk mewujudkan
sebuah sistem yang mampan bagi membangunkan negara demi kepentingan rakyat
Malaysia. NTP telah membolehkan aspirasi kerajaan untuk tahun 2020 dicapai
menerusi kaedah rasionalisis dan oleh itu terdapat keperluan untuk
mempelbagaikan ekonomi negara, katanya. "Industri pelancongan memainkan
peranan penting bagai memperkukuhkan kepelbagaian ekonomi Malaysia. Program NTP
telah memanfaatkan rakyat Malaysia secara langsung termasuk industri
pelancongan," katanya
No comments:
Post a Comment