Malaysia
mencatat rekod peningkatan kedatangan pelancong sebanyak +1.2% dengan jumlah
sebanyak 9,438,592 orang bagi lima bulan pertama tahun 2012, berbanding
9,323,827 orang bagi tempoh yang sama tahun lepas, menurut Menteri Pelancongan,
Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen. Negara-negara ASEAN masih menjadi penyumbang
tertinggi kepada kedatangan pelancong ke Malaysia iaitu 73.4% daripada jumlah
keseluruhan kedatangan pelancong. Negara-negara tersebut ialah Indonesia
(+19.3%), Filipina (+41.7%), Vietnam (+35.2%), Myanmar (+6.9%) dan Laos
(+19.9%). Selain itu, negara-negara lain termasuklah Saudi Arabia (+50.7%),
China (+34.1%), Japan (30.6%), Russia (25.8%), Kazakhstan (25.2%), Denmark
(14.4%) dan India (+7.8%).
Jumlah
pendapatan yang didapati daripada pelancong dari bulan Januari hingga Mei 2012
meningkat sebanyak +1.9%, iaitu menjana sebanyak RM21.8 bilion kepada
pendapatan negara, berbanding RM21.4 bilion pada tahun 2011. Perbelanjaan
pelancong per kapita bagi tempoh tersebut dianggarkan berjumlah RM2,309 dengan
peningkatan 0.7% berbanding RM2,294 pada tahun 2011.
Menteri
Pelancongan menambah, selaras dengan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia
2020 iaitu mencapai sebanyak 36 juta orang pelancong dengan jumlah pendapat
sebanyak RM 168 bilion menjelang tahun 2020, adalah penting bagi Malaysia untuk
menjadi lebih fokus kepada mengekalkan kadar peningkatan hasil seorang
pelancong berbanding daripada hanya lebih mementingkan kepada kadar peningkatan
kedatangan pelancong. "Bagi menarik lebih ramai segmen pelancong
berpendapatan tinggi, kita mestilah meningkatkan jaringan perhubungan kepada
pasaran-pasaran utama". Sebagai permulaan, Tourism Malaysia telah berusaha
ke arah meningkatkan frekuensi penerbangan kepada 6 negara utama iaitu China,
India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan Taiwan, selain membangunkan rangka
kerja bagi peruntukan hak penerbangan untuk melicinkan kemudahan laluan-laluan
utama tersebut dan yang lain-lainnya.
Salah
satu daripada program yang telah dikenalpasti oleh pihak Kementerian bagi
membangunkan pelancongan luar bandar ialah Program Homestay. Program ini
mencatat peningkatan sebanyak 38.4% bagi kadar penginapan berbanding 24.9% pada
masa yang sama tahun lepas. Sejumlah 133,689 orang pelancong telah berkunjung
ke homestay dari bulan Januari hingga Mei 2012, iaitu 110,322 pelancong
domestik dan 23,367 pelancong asing, iatu peningkatan sebanyak 70.7% berbanding
tahun lalu, iaitu hanya 78,333 orang. Jumlah pendapatan daripada program
homestay bagi lima bulan pertama tahun 2012 ialah RM 7,376,446.50 (+53.1%)
berbanding pada bulan Januari hingga Mei tahun 2011 iaitu RM4, 817,158.30.
Program Pelancongan Homestay ini telah menggalakkan komuniti tempatan menjadi
sebahagian daripda pelancongan luar Bandar dan pada masa yang sama mengekalkan
tradisi dan identiti mereka.
Sebagai
salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), industri pelancongan menjadi
salah satu penyumbang utama kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI), kadar tukaran
wang asing dan peluang pekerjaan. Pada tahun 2011, sektor pelancongan menjadi
penyumbang terbesar dengan berada di tangga ketujuh dengan nilai GNI sebanyak
USD 12.3 bilion dan berada di tangga ketiga dalam kadar tukaran wang asing
selepas perkilangan dan minyak sawit. Pada tahun 2010, industri pelancongan
Malaysia turut menyediakan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan (15.9%,
perkongsian antara peluang pekerjaan dalam industri pelancongan dengan jumlah
pekerjaan keseluruhannya). Dalam 12 Projek Permulaan di bawah NKEA Pelancongan,
barangan beli-belah bebas cukai, pelancongan mewah, menjadikan KLCC-Bukit
Bintang sebagai kawasan beli-belah yang dinamik, menambah baik pelancongan perniagaan
serta peningkatan penawaran bilik hotel bertaraf 4 dan 5 bintang dan sebagainya.
Peratusan
beli-belah oleh pelancong dari bulan Januari hingga Mei 2012 ialah sebanyak
32.3% (RM7.04 bilion) daripada jumlah pendapatan keseluruhan. Ini menunjukkan
peningkatan berbanding sebanyak 30% tahun lepas. Laluan pejalan kaki tertutup
yang menghubungkan Bukit Bintang dan KLCC yang siap sepenuhnya pada awal tahun
ini telah memperlihatkan impak positif dalam hal ini.
Bagi
menarik minat pelancong berpendapatan tinggi, kita memerlukan hotel bertaraf 4
dan 5 bintang yang berkualiti. Kini, terdapat sebanyak 59,804 buah bilik di
hotel 4 dan 5 bintang yang ada di Malaysia. Menjelang tahun 2020, sebanyak
37,000 buah bilik tambahan di hotel 4 dan 5 bintang diperlukan. Kementerian
Pelancongan mensasarkan untuk meningkatkan sebanyak 3000 buah bilik di hotel
bertaraf 4 dan 5 bintang di Malaysia menjelang akhir tahun 2012. Kini, sebanyak
71% daripada sasaran tersebut telah dicapai, dengan 2,123 buah bilik telah siap
sepenuhnya. Dasar-dasar liberalisasi kerajaan dan cukai insentif yang lumayan
telah menyebabkan pelaburan domestik dan asing ke atas aset hospitaliti di
seluruh Malaysia.
Malaysia
telah menjadi destinasi bertaraf dunia bagi Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan
Pameran (MICE). Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB) turut berjaya
menganjurkan 33 acara-acara utama sepanjang bulan Januari hingga Mei 2012, dan
telah menarik seramai 50,770 orang delegasi yang memberi impak ekonomi
berjumlah RM499.9 juta. The International Congress and Convention Association
(ICCA) Rankings 2011 telah mengenal pasti Kuala Lumpur berada di kedudukan
ke-21 di dunia dan di tangga kelima di Asia Pasifik. Malaysia berada di tangga
ke-29 di dunia dan di kedudukan ke-7 di Asia Pasifik.
Pelancongan
domestik juga memainkan peranan penting dalam industri pelancongan Malaysia.
Bilangan pelancong domestik pada 2011 meningkat sebanyak 15.7% (45,731,000
orang berbanding 39,539,000 pada tahun 2010). Pada tahun 2011, perbelanjaan
pelancong domestik ialah RM27.0 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 13.9%
berbanding RM 23.7 bilion pada tahun 2010. Ini adalah hasil kejayaan Kempen
Cuti Cuti 1Malaysia. Untuk meningkatkan industri pelancongan,
pelbagai usaha dijalankan bagi meningkatkan taraf produk pelancongan sedia ada
dan membangunkan produk baru, kreatif serta berinovasi. Ini termasukklah
"1Malaysia International Shoe Festival 2012", "1Malaysia
International Tourism Exchange 2012", "1Malaysia Contemporary Art
Tourism 2012" dan yang terbaru ialah "1Malaysia International Tourism
Night Floral Parade 2012".Penjenamaan 'Malaysia: Truly Asia' oleh
Kementerian Pelancongan Malaysia telah dikenali di seluruh dunia dan United
Nations World Tourism Organisation (UNWTO) melaporkan bahawa Malaysia berada di
tangga kesembilan sebagai destinasi paling ramai dikunjungi di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment