Thursday, 1 December 2016

KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN



Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Dalam menuju status negara maju menjelang tahun 2020, negara seharusnya dapat menjadikan sektor pertanian sebagai satu sektor yang penting dalam meningkatkan ekonomi negara serta pembangunan sumber manusia. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju (Abdul Rasid bdul Razzaq, 2009).
Hal ini telah lama berlaku iaitu semenjak negara ini bebas daripada penjajahan negara-negara luar pada tahun 1957. Kegiatan ekonomi utama pada era tersebut adalah aktiviti-aktiviti yang berasaskan pertanian seperti menanam padi, ubi, mengusahakan ladang getah dan sebagainya. Bidang pertanian juga mampu menyediakan peluang pekerjaan yang cukup besar kepada rakyat di negara ini. Sejak zaman dahulu lagi, pertanian merupakan pekerjaan warisan yang menjana ekonomi keluarga, khususnya di negara membangun seperti Malaysia, sektor pertanian menyumbang 50 peratus peluang pekerjaan. Realitinya, masyarakat desa sememangnya bergantung harap kepada sektor ini memandangkan mereka mempunyai tanah yang luas untuk dikerjakan dan tenaga buruh yang mudah didapati. Lagi pula, pekerjaan ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi berbanding kerja profesional dan separuh profesional.
Namun begitu, jika di lihat pada hari ini bidang pertanian semakin dilupakan apabila negara semakin maju dengan kepesatan pembangunan dan peningkatan sektor-sektor lain yang lebih menjana pendapatan negara seperti sektor pelancongan dan perniagaan. Hakikatnya, bidang pertanian mempunyai kepentingannya yang tersendiri dan dapat menjana pendapatan negara dengan lebih banyak berbanding bidang-bidang lain jika dijalankan dengan bersungguh-sungguh. Menurut statistik tanaman yang disediakan oleh Jabatan Pertanian, pendapatan kasar bagi penjualan durian pada tahun 2011 ialah RM503,685 dan semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Pihak kerajaan hendaklah meletakkan sasaran sektor pertanian dalam NKRA negara. Sebenarnya terdapat banyak faedah  kepada semua pihak sekiranya sektor pertanian ini diperkasakan semula. Faedah yang pertama tentulah kepada pihak kerajaan sendiri apabila dapat mewujudkan suatu lagi saluran strategik untuk ekonomi negara. Pihak kerajaan dapat mengurangkan kadar pengaliran wang keluar kerana mengimport barangan makanan khususnya barangan pertanian. Statistik yang dikeluarkan dalam tahun 2013, sejumlah 30 bilion telah dibelanjakan untuk mengimport pelbagai jenis barangan makanan. Selain itu kumpulan yang kedua bakal memperoleh faedah tentulah sektor swasta yang mempunyai hubung kait perniagaan dalam bidang pertanian kerana secara langsung mengeluarkan input-input pertanian seperti pembekal jentera, pengeluar baja, racun dan biji benih akan dapat mengembangkan sayap perniagaan mereka dengan lebih meluas lagi.

PENGENALAN



Kini sektor pertanian menjadi bidang yang sangat penting dalam negara kita. Peningkatan jumlah penduduk dalam negara mahupun di dunia menyebabkan permintaan tehadap sektor makanan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Fungsi pertanian pada peringkat awalnya adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia iaitu makanan dan minuman. Namun apabila meningkatnya tamadun manusia, maka fungsi pertanian telah berubah.
Di Malaysia, sektor pertanian telah memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi. Pada peringkat permulaan, penanaman tanaman makanan telah diusahakan oleh penduduk tempatan seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan serta kegiatan menangkap ikan dan menternak haiwan dalam menyediakan sumber makanan, mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada para penduduk (Abdul Rasid abdul Razzaq, 2009)
Dalam memenuhi keperluan industri pertanian yang semakin rancak berkembang pada masa kini, penyediaan modal insan yang serba boleh dan mantap dari segala aspek sangat mustahak. Penyediaan modal insan yang berkualiti perlu untuk meningkatkan keupayaan negara dalam menghasilkan pelbagai sumber berasakan pertanian serta dapat memenuhi permintaan di dalam negara di samping mengukuhkan lagi ekonomi dan kewangan sejagat.
Definisi pertanian yang sebenarnya merujuk kepada perihal pengeluaran makanan dan barangan melalui perkebunan, penanaman, penternakan dan perhutanan. Pertanian merupakan pembangunan penting kepada kebangkitan tamadun apabila penanaman dan penternakan membawa kepada lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan dalam masyarakat yang semakin ramai dan berkelas. Sektor pertanian merupakan antara aktiviti ekonomi yang dikategorikan sebagai sektor utama (primer) selain daripada perlombongan dan kuari (da Silva & Rakin, 2013).
Dalam istilah “Menukar najis haiwan menjadi wang”, (Utusan Online, 8 September 2016) merupakan salah satu artikel berkaitan pertanian di Surat khabar yang sering menarik perhatian pembaca untuk mengetahuinya. Ramai yang tidak tahu bahawa bidang pertanian adalah satu bidang yang sangat luas dan menguntungkan. Pelbagai idea baru dapat diketengahkan jika seseorang individu itu berpandangan jauh dan mahu bekerja keras. Pertanian berasal daripada perkataan “Tani” yang bermaksud mengusahakan tanah untuk bercucuk tanam dan menternak binatang (Kamus Dewan Bahasa, Edisi Keempat). Secara amnya pertanian ialah pengeluaran makanan dan barangan melalui kaedah perladangan, penternakan dan perhutanan.
Peratusan kecil bidang pertanian ini menggambarkan sumbangan yang boleh dianggap kurang signifikan terhadap pembangunan negara. Semakin hari, jumlah import makanan negara semakin meningkat (Fatimah Mohamed Arshad, 2008) bahawa pada tahun 2005, nilai import makanan Malaysia bernilai RM15.46 bilion.  Berdasarkan laporan Rancangan Malaysia Kesepuluh, 2010-2015: Kemajuan (2016) import makanan juga meningkat pada kadar 9% setahun, iaitu daripada RM34.5 bilion pada tahun 2011 kepada RM42.6 bilion pada tahun 2014.   Situasi dillihat membimbangkan berikutan kadar import pertanian yang tinggi mampu menjejaskan imbangan pembayaran negara dan meningkatkan kebergantungan negara ke atas barangan import sekaligus hasrat kerajaan untuk merevolusikan semula bidang pertanian melalui perniagaan merupakan satu hasrat yang murni.  
Lagu tema MAHA 2016

Penganjuran MAHA 2016 di MAEPS Serdang Selangor 1-11 Disember 2016

Wednesday, 30 November 2016

KESIMPULAN



   

Kesimpulannya, sektor pertanian akan lebih berkembang pesat jika semua pihak berusaha untuk memajukan sektor ini. Penganjuran MAHA 2008 contohnya, merupakan komitmen kerajaan dan agensi swasta untuk melonjak pendapatan negara melalui sektor pertanian dan asas tani selain berobjektifkan menarik minat rakyat negara ini menceburkan diri dalam bidang ini.Oleh itu, usaha yang bersungguh-sungguh untuk maju dalam bidang ini amat perlu dalam kalangan rakyat negara ini kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Sesungguhnya gandingan mantap semua pihak seperti aur dengan tebing akan dapat merealisasikan impian negara untuk meningkatkan hasil pertanian negara.

BANTUAN KERAJAAN DAN SOKONGAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN.




Kebelakangan ini sektor pertanian bukan lagi bidang yang dipandang rendah oleh seluruh masyarakat sama ada masyarakat Malaysia atau masyarakat lain di dunia. Bidang pertanian telah menjadi penyumbang utama pembangunan negara sehingga boleh diterjemahkan sebagai berdiri sama tingggi, duduk sama rendah dengan sektor-sektor lain di negara ini. Sektor ini telah berjaya melonjakkan nama Malaysia ke persada antarabangsa sehingga mencatat Keluaran Dalam Neagara Kasar (KDNK) sebanyak 13 % iaitu menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM 14 bilion pada tahun 2007. Sebagai contoh, negara ini telah menjadi pengeksport terbesar kelapa sawit, getah dan sebagainya. Walau bagaimanapun langkah-langkah jitu perlu terus dilakukan untuk meningkatkan sektor pertanian ini.

Bantuan kerajaan yang utama untuk meningkat sektor pertanian ini ialah kerajaan perlu membuka kawasan pertanian baru. Hal ini demikian kerana pembukaan tanah pertanian baru akan dapat meningkatkan jumlah pengeluaran hasil pertanian. Kerajaan boleh memberi tanah rizab kerajaan kepada pihak-pihak tertentu seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk membuka dan meneroka kawasan baru bagi tujuan aktiviti pertanian. Era ini, FELDA telah berjaya membuka beberapa kawasan pertanian secara komersial contohnya, di FELDA Kemahang Kelantan, FELDA Taib Andak Johor, dan sebagainya. Kerajaan juga boleh menggalakkan pengusaha membuka lebih banyak kawasan penternakan haiwan seperti ayam, kambing, lembu, dan sebagainya.  Bidang penternakan ini juga akan membuahkan hasil yang lumayan. Walau bagaimanapun petani jangan mudah gelap mata dengan peningkatan pendapatan tersebut kerana usaha berterusan amat perlu dan jangan hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam . Oleh itu, penambahan pembukaan kawasan pertanian yang baru akan dapat meningkatkan kuantiti pertanian dan seterusnya meningkatkan pendapatan negara. 

Selain itu, bantuan kerajaan dari aspek penyelidikan  dan    pembangunan secara santifik juga perlu bagi meningkatkan hasil pertanian negara.  Penyelidikan yang tepat akan berjaya menghasilkan kualiti benih yang bermutu dan tahan penyakit. Benih yang berkualiti akan menghasilkan tanaman yang berkualiti dan seterusnya dapat dipasarkan untuk pasaran dalam dan luar negara. Penyelidikan boleh dijalankan melalui kacukan biji benih dari pokok induk yang baik bakanya seterusnya membuat pengklonisasi untuk memastikan kuantiti tanaman mencukupi dalam satu masa dan memelihara kualiti hasil tanaman. Dalam usaha merealisasikannya, pihak bertanggungjawab seperti Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) perlu turun padang dan jangan hanya sekadar ringan mulut, berat punggung sahaja. Pihak-pihak yang terlibat ini perlu sentiasa membuat penyelidikan bagi meningkatkan hasil pertanian dan mengawal kualiti sama ada tanaman atau ternakan.Tegasnya, penyelidikan adalah amat penting bagi memastikan pengeluaran biji benih yang sihat dan menjurus kepada penghasilan tanaman yang terbaik. 

Bantuan kerajaan seterusnya yang boleh diambil untuk meningkatkan pendapatan dalam sektor ini adalah dengan memberi kemudahan kredit kepda para petani atau pengusaha. Hal ini demikian kerana faktor utama sektor ini kurang berkembang berbanding negara-negara pertanian lain seperti Thailand dan Filipina, disebabkan hampir semua petani dan pengusaha di negara ini dihambat kemiskinan dan kekurangan modal. Implikasinya, mereka tidak mampu membeli dan memiliki jentera-jentera canggih , benih-benih yang bermutu, dan memperluas tanah pertanian. Bertitik tolak daripada itu, kerajaan telah memberikan peruntukan dan amanah yang besar kepada Agro Bank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) agar dapat membantu lebih ramai pengusaha dan petani memperluas aktiviti memproses hasil pertanian dan meningkatkan kegiatan pertanian mereka.

Slogan Kementerian Pertanian Malaysia “ Pertanian adalah Perniagaan” amat wajar dihayati dan diamalkan oleh para petani. Sebagai contoh, pemberian pinjaman oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab akan memberi peluang kepada petani membeli tanah untuk pertanian dan juga membeli pelbagai kemudahan asas pertanian. Pertanian secara komersial dapat dijalankan lantaran pelbagai kemudahan kredit yang diberi. Oleh itu, pemberian kemudahan kredit kepada para pengusaha, produktiviti pertanian dapat ditingkatkan dan seterusnya sektor pertanian negara akan sentiasa berkembang.

    Sokongan

Agensi-agensi kerajaan juga turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil pertanian. Hal ini demikian kerana, masyarakat kita hari ini masih dangkal tentang pertanian moden. Agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Beras dan Padi Negara (LPN), Pihak Berkuasa Pekebun Kecil (RISDA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merupakan penggerak kepada petani. Mereka menggalakkan masyarakat terlibat dalam bidang pertanian dengan cara menyediakan khidmat kursus dan latihan, memberi pinjaman modal, dan mempromosikan hasil pertanian. Sebagai contoh, pada Julai 2008, pihak RISDA telah mengadakan satu kursus kepada para belia bagi menggalakkan mereka terlibat secara giat dalam sektor ini. Minat para belia mesti dipupuk kerana tak kenal maka tak cinta. Hal ini demikian kerana, sumbangan belia dalam sektor ini akan mencorakkan sektor pertanian negara. Tegasnya, agensi-agensi kerajaan memainkan peranan penting bagi meningkatkan hasil pertanian Negara.

             Wahana penting negara mudah disebarkan melalui media massa. Dalam hal ini media massa memainkan peranan penting dalam usaha menyampaikan maklumat mutakhir tentang sebarang visi dan misi kerajaan. Begitu juga peranan media massa dalam usaha meningkatkan hasil pertanian negara. Impak positifnya amat jelas kerana media massa merupakan medium penyebaran maklumat yang berkesan. Media cetak atau media elektronik mestilah memainkan peranan masing-masing dengan memberi pendedahan ilmu pertanian kepada petani dan masyarakat setempat. Media massa contohnya Radio dan Televisyen Malaysia ( RTM ) perlu mengatur dan merancang program-program yang memaparkan kepentingan sektor pertanian terhadap pembangunan negara. Pelbagai program khas yang memaparkan kaedah-kaedah pertanian yang efektif hendaklah diketengahkan bagi membantu para petani dan usahawan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pertanian mereka. Selain itu, segmen-segmen usahawan berjaya juga perlu diterap dalam program tersebut.Matlamat utama program tersebut, diharapkan para penonton akan lebih berminat menceburkan diri dalam sektor ini kerana mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Sebagai contoh, program-program yang sering dipaparkan adalah seperti Agrojurnal, Agrotek, Usahawan Muda dan sebagainya. Tegasnya, peranan media massa tidak kurang pentingnya dalam usaha meningkatkan sektor pertanian negara.

CABARAN/HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN



           

   Perubahan iklim dunia secara mendadak berupaya menjejaskan jaminan bekalan makanan dunia dan merupakan cabaran utama dalam bidang pertanian. Kenyataan ini boleh dibuktikan melalui laporan Perkembangan Ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu “pertumbuhan dalam sektor pertanian menguncup 3.8% (S4 2015 : 1.5%), terutama mencerminkan pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah, berikutan fenomena cuaca El Nino yang menjejaskan hasil tanaman.”

Faktor bencana alam seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh mempengaruhi jumlah pengeluaran semasa dan lebih teruk lagi pengusaha terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat kemusnahan tanaman. Turut memetik kenyataan Pengarah Pertanian Terengganu, Encik Yusof Maidin kepada akhbar Sinar Harian online pada 3 Februari 2013, bencana banjir di Terengganu memusnahkan tanaman seluas 688 hektar dengan kerugian lebih RM1.7 juta, membabitkan lebih 12,000 petani. Tanaman paling banyak terjejas adalah padi meliputi kawasan seluas 275.5 hektar, diikuti tanaman kontan (149.82 hektar), sayur-sayuran (115.38 hektar) dan pokok buah-buahan (103 hektar). Selain tanaman, banjir itu turut memusnahkan peralatan dan mesin pemprosesan mengakibatkan kerugian RM42,000.00 kepada 10 pengusaha.

Masalah kekurangan tanah yang sesuai untuk tujuan pertanian komersil berskala besar. Melalui kajian tapak yang dijalankan oleh Rafiqah Mat dan Aziz Abdul Majid (2015) mendapati “pengusaha pertanian menghadapi halangan atau masalah yang berkaitan dengan tanah seperti keluasan tanah yang tidak ekonomik, kekurangan tanah kosong, tanah yang kurang sesuai untuk pertanian dan masalah sewa tanah”. (hlmn. 51).

Saiz tanah yang terhad hanya menghasilkan jumlah pengeluaran berskala kecil sahaja dan menampung keperluan di pasar-pasar dan kedai-kedai sekitar nya. Hal ini tidak membantu meningkatkan julat keuntungan kepada pengusaha, sebaliknya pendapatan yang statik ditambah pula beban kos utiliti yang saban hari semakin tinggi, hanya mengundang kepada masalah baru iaitu peningkatan harga makanan dan harga barangan.

Di peringkat antarabangsa pula kedudukan sektor pertanian negara menjadi semakin mencabar dengan terbentuknya WTO di mana liberalisasi perdagangan antarabangsa menyebabkan persaingan semakin sengit. Sektor pertanian negara terancam sekiranya tidak bersedia meningkatkan daya pengeluaran untuk memperolehi daya saing yang lebih tinggi.