Kesimpulannya, sektor
pertanian akan lebih berkembang pesat jika semua pihak berusaha untuk memajukan
sektor ini. Penganjuran MAHA 2008 contohnya, merupakan komitmen kerajaan dan
agensi swasta untuk melonjak pendapatan negara melalui sektor pertanian dan
asas tani selain berobjektifkan menarik minat rakyat negara ini menceburkan
diri dalam bidang ini.Oleh itu, usaha yang bersungguh-sungguh untuk maju dalam
bidang ini amat perlu dalam kalangan rakyat negara ini kerana kalau tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Sesungguhnya gandingan mantap semua
pihak seperti aur dengan tebing akan dapat merealisasikan impian negara untuk
meningkatkan hasil pertanian negara.
Wednesday, 30 November 2016
BANTUAN KERAJAAN DAN SOKONGAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN.
Kebelakangan ini sektor pertanian
bukan lagi bidang yang dipandang rendah oleh seluruh masyarakat sama ada
masyarakat Malaysia atau masyarakat lain di dunia. Bidang pertanian telah
menjadi penyumbang utama pembangunan negara sehingga boleh diterjemahkan
sebagai berdiri sama tingggi, duduk sama rendah dengan sektor-sektor lain di
negara ini. Sektor ini telah berjaya melonjakkan nama Malaysia ke persada
antarabangsa sehingga mencatat Keluaran Dalam Neagara Kasar (KDNK) sebanyak 13
% iaitu menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM 14 bilion pada tahun
2007. Sebagai contoh, negara ini telah menjadi pengeksport terbesar kelapa
sawit, getah dan sebagainya. Walau bagaimanapun langkah-langkah jitu perlu
terus dilakukan untuk meningkatkan sektor pertanian ini.
Bantuan kerajaan yang
utama untuk meningkat sektor pertanian ini ialah kerajaan perlu membuka kawasan
pertanian baru. Hal ini demikian kerana pembukaan tanah pertanian baru akan
dapat meningkatkan jumlah pengeluaran hasil pertanian. Kerajaan boleh memberi
tanah rizab kerajaan kepada pihak-pihak tertentu seperti Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan (FELDA) untuk membuka dan meneroka kawasan baru bagi tujuan
aktiviti pertanian. Era ini, FELDA telah berjaya membuka beberapa kawasan
pertanian secara komersial contohnya, di FELDA Kemahang Kelantan, FELDA Taib
Andak Johor, dan sebagainya. Kerajaan juga boleh menggalakkan pengusaha membuka
lebih banyak kawasan penternakan haiwan seperti ayam, kambing, lembu, dan
sebagainya. Bidang penternakan ini juga
akan membuahkan hasil yang lumayan. Walau bagaimanapun petani jangan mudah
gelap mata dengan peningkatan pendapatan tersebut kerana usaha berterusan amat
perlu dan jangan hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam . Oleh itu, penambahan
pembukaan kawasan pertanian yang baru akan dapat meningkatkan kuantiti
pertanian dan seterusnya meningkatkan pendapatan negara.
Selain
itu, bantuan kerajaan dari aspek penyelidikan
dan pembangunan secara santifik
juga perlu bagi meningkatkan hasil pertanian negara. Penyelidikan yang tepat akan berjaya
menghasilkan kualiti benih yang bermutu dan tahan penyakit. Benih yang
berkualiti akan menghasilkan tanaman yang berkualiti dan seterusnya dapat
dipasarkan untuk pasaran dalam dan luar negara. Penyelidikan boleh dijalankan
melalui kacukan biji benih dari pokok induk yang baik bakanya seterusnya
membuat pengklonisasi untuk memastikan kuantiti tanaman mencukupi dalam satu
masa dan memelihara kualiti hasil tanaman. Dalam usaha merealisasikannya, pihak
bertanggungjawab seperti Malaysian Agricultural Research and Development
Institute (MARDI) perlu turun padang dan jangan hanya sekadar ringan mulut,
berat punggung sahaja. Pihak-pihak yang terlibat ini perlu sentiasa membuat
penyelidikan bagi meningkatkan hasil pertanian dan mengawal kualiti sama ada
tanaman atau ternakan.Tegasnya, penyelidikan adalah amat penting bagi
memastikan pengeluaran biji benih yang sihat dan menjurus kepada penghasilan
tanaman yang terbaik.
Bantuan
kerajaan seterusnya yang boleh diambil untuk meningkatkan pendapatan dalam
sektor ini adalah dengan memberi kemudahan kredit kepda para petani atau
pengusaha. Hal ini demikian kerana faktor utama sektor ini kurang berkembang
berbanding negara-negara pertanian lain seperti Thailand dan Filipina,
disebabkan hampir semua petani dan pengusaha di negara ini dihambat kemiskinan
dan kekurangan modal. Implikasinya, mereka tidak mampu membeli dan memiliki
jentera-jentera canggih , benih-benih yang bermutu, dan memperluas tanah
pertanian. Bertitik tolak daripada itu, kerajaan telah memberikan peruntukan
dan amanah yang besar kepada Agro Bank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia
(FAMA) agar dapat membantu lebih ramai pengusaha dan petani memperluas aktiviti
memproses hasil pertanian dan meningkatkan kegiatan pertanian mereka.
Slogan
Kementerian Pertanian Malaysia “ Pertanian adalah Perniagaan” amat wajar dihayati dan
diamalkan oleh para
petani. Sebagai contoh, pemberian pinjaman oleh pihak-pihak yang
bertanggungjawab akan memberi peluang kepada petani membeli tanah untuk
pertanian dan juga membeli pelbagai kemudahan asas pertanian. Pertanian secara
komersial dapat dijalankan lantaran pelbagai kemudahan kredit yang diberi. Oleh
itu, pemberian kemudahan kredit kepada para pengusaha, produktiviti pertanian
dapat ditingkatkan dan seterusnya sektor pertanian negara akan sentiasa
berkembang.
Sokongan
Agensi-agensi
kerajaan juga turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil
pertanian. Hal ini demikian kerana, masyarakat kita hari ini masih dangkal
tentang pertanian moden. Agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Beras dan Padi
Negara (LPN), Pihak Berkuasa Pekebun Kecil (RISDA), Lembaga Pertubuhan Peladang
(LPP) merupakan penggerak kepada petani. Mereka menggalakkan masyarakat
terlibat dalam bidang pertanian dengan cara menyediakan khidmat kursus dan
latihan, memberi pinjaman modal, dan mempromosikan hasil pertanian. Sebagai
contoh, pada Julai 2008, pihak RISDA telah mengadakan satu kursus kepada para
belia bagi menggalakkan mereka terlibat secara giat dalam sektor ini. Minat
para belia mesti dipupuk kerana tak kenal maka tak cinta. Hal ini demikian
kerana, sumbangan belia dalam sektor ini akan mencorakkan sektor pertanian
negara. Tegasnya, agensi-agensi kerajaan memainkan peranan penting bagi
meningkatkan hasil pertanian Negara.
Wahana
penting negara mudah disebarkan melalui media massa. Dalam hal ini media massa
memainkan peranan penting dalam usaha menyampaikan maklumat mutakhir tentang
sebarang visi dan misi kerajaan. Begitu juga peranan media massa dalam usaha
meningkatkan hasil pertanian negara. Impak positifnya amat jelas kerana media
massa merupakan medium penyebaran maklumat yang berkesan. Media cetak atau
media elektronik mestilah memainkan peranan masing-masing dengan memberi
pendedahan ilmu pertanian kepada petani dan masyarakat setempat. Media massa
contohnya Radio dan Televisyen Malaysia ( RTM ) perlu mengatur dan merancang
program-program yang memaparkan kepentingan sektor pertanian terhadap
pembangunan negara. Pelbagai program khas yang memaparkan kaedah-kaedah
pertanian yang efektif hendaklah diketengahkan bagi membantu para petani dan
usahawan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pertanian mereka. Selain
itu, segmen-segmen usahawan berjaya juga perlu diterap dalam program
tersebut.Matlamat utama program tersebut, diharapkan para penonton akan lebih
berminat menceburkan diri dalam sektor ini kerana mata pena lebih tajam
daripada mata pedang. Sebagai contoh, program-program yang sering dipaparkan
adalah seperti Agrojurnal, Agrotek, Usahawan Muda dan sebagainya. Tegasnya,
peranan media massa tidak kurang pentingnya dalam usaha meningkatkan sektor
pertanian negara.
CABARAN/HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN
Perubahan iklim dunia secara
mendadak berupaya menjejaskan jaminan bekalan makanan dunia dan merupakan
cabaran utama dalam bidang pertanian. Kenyataan ini boleh dibuktikan melalui
laporan Perkembangan Ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun 2016 yang dikeluarkan
oleh Bank Negara Malaysia iaitu “pertumbuhan dalam sektor pertanian menguncup
3.8% (S4 2015 : 1.5%), terutama mencerminkan pengeluaran minyak sawit yang
lebih rendah, berikutan fenomena cuaca El Nino yang menjejaskan hasil tanaman.”
Faktor bencana alam seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh
mempengaruhi jumlah pengeluaran semasa dan lebih teruk lagi pengusaha terpaksa
menanggung kerugian yang besar akibat kemusnahan tanaman. Turut memetik
kenyataan Pengarah Pertanian Terengganu, Encik Yusof Maidin kepada akhbar Sinar
Harian online pada 3 Februari 2013, bencana banjir di Terengganu memusnahkan
tanaman seluas 688 hektar dengan kerugian lebih RM1.7 juta, membabitkan lebih
12,000 petani. Tanaman paling banyak terjejas adalah padi meliputi kawasan
seluas 275.5 hektar, diikuti tanaman kontan (149.82 hektar), sayur-sayuran
(115.38 hektar) dan pokok buah-buahan (103 hektar). Selain tanaman, banjir itu
turut memusnahkan peralatan dan mesin pemprosesan mengakibatkan kerugian
RM42,000.00 kepada 10 pengusaha.
Masalah kekurangan tanah yang sesuai untuk tujuan pertanian komersil
berskala besar. Melalui kajian tapak yang dijalankan oleh Rafiqah Mat dan Aziz
Abdul Majid (2015) mendapati “pengusaha pertanian menghadapi halangan atau
masalah yang berkaitan dengan tanah seperti keluasan tanah yang tidak ekonomik,
kekurangan tanah kosong, tanah yang kurang sesuai untuk pertanian dan masalah
sewa tanah”. (hlmn. 51).
Saiz tanah yang terhad hanya menghasilkan jumlah pengeluaran berskala
kecil sahaja dan menampung keperluan di pasar-pasar dan kedai-kedai sekitar
nya. Hal ini tidak membantu meningkatkan julat keuntungan kepada pengusaha,
sebaliknya pendapatan yang statik ditambah pula beban kos utiliti yang saban
hari semakin tinggi, hanya mengundang kepada masalah baru iaitu peningkatan
harga makanan dan harga barangan.
Di peringkat antarabangsa pula kedudukan sektor pertanian negara menjadi
semakin mencabar dengan terbentuknya WTO di mana liberalisasi perdagangan
antarabangsa menyebabkan persaingan semakin sengit. Sektor pertanian negara
terancam sekiranya tidak bersedia meningkatkan daya pengeluaran untuk
memperolehi daya saing yang lebih tinggi.
POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN
Bidang pertanian berpotensi sebagai perniagaan yang menguntungkan dan
merupakan perkara yang menjadi asas pegangan petani atau sesiapa sahaja yang
mengusahakan bidang pertanian itu sendiri. Bidang pertanian dilihat berpotensi
tinggi untuk dibawa ke peringkat antarabangsa kerana hasil keluarannya
mempunyai kualiti yang tinggi dan setanding dengan negara-negara pertanian yang
lain. Malaysia juga mampu mengeksport dan menghasilkan tanaman dalam kuantiti
yang banyak kerana tanah di Malaysia sangat subur, luas dan sesuai untuk bidang
pertanian.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama-sama jabatan dan
agensi kerajaan dibawahnya perlu merancang dan melaksanakan program seperti
program turun padang bersama petani-petani untuk memberi sokongan dan mendengar
permasalahan petani. Dengan adanya perancangan dan program seumpama itu, ia
mampu memajukan kumpulan sasaran iaitu para petani dan pengusahanya.
Mentransformasikan bidang pertanian adalah amat penting bagi meningkatkan
potensi dalam bidang tersebut. Kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam
memajukan sektor pertanian dengan menyediakan tempat atau kawasan sesuai untuk
dimajukan samada di darat dan laut. Bidang kuasa yang terlibat adalah Kerajaan
Negeri dimana jika Jabatan Perikanan merancang untuk membangunkan Zon Industri
Akuakultur sudah tentulah kawasan atau tempat tersebut di bawah selian Kerajaan
Negeri yang terlibat.
Aspek kualiti dan keselamatan juga perlu dititikberatkan kerana apabila
hasil pengeluaran yang bermutu tinggi dan kebersihan diutamakan maka permintaan
terhadap pasaran tempatan dan antarabangsa akan meningkat serta memperolehi
harga yang tinggi. Untuk memenuhi permintaan pasaran, beberapa tindakan perlu
dilakukan seperti pelebelan, penggredan dan pembungkusan bagi menepati
piawaian-piawaian antarabangsa. Program kualiti juga perlu dilaksanakan oleh
jabatan dan agensi yang terlibat bagi memberi pemahaman kepada pengusaha.
KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN
Menurut Ashriq Fahmy Ahmad (2012), sektor pertanian ini
kebiasaannya hanya dipelopori oleh para petani secara kecil-kecilan dan kurang
diminati oleh segolongan besar rakyat Malaysia. Berbeza pula dengan apa yang
dapat kita lihat pada tahun 2016 dimana rata-rata anak muda semakin giat
mengusahakan bidang pertanian ini sebagai sesuatu yang dilihat mempunyai
potensi dalam memberi pulangan yang lumayan. Disebabkan itu juga, bagi
meningkatkan kesedaran dikalangan rakyat negara Malaysia, Dewan Perniagaan
Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) bersama Universiti Putra Malaysia telah
menganjurkan Program Cabaran Siswatani 2011.
Di Malaysia, industri pertanian ini mula dibangunkan secara
lebih proaktif pada era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi
Rancangan Malaysia (ke-5). Pada ketika
ini, Malaysia telah dapat membangun dengan pesat seiring dengan kemajuan dalam
industri pertanian.
Selepas negara mencapai kemerdekaan, Malaysia
terkenal sebagai sebuah negara pertanian. Aktiviti ekonorni negara pada masa
itu sangat bergantung kepada sektor pertanian dan perlombongan. Sejarah
mencatatkan, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK pada tahun 1957 ialah
sebanyak 46%. Keadaan ini telah berubah pada tahun 2003 di mana sumbangan
sektor pertanian kepada KDNK adalah 8.45% pada masa yang sama negara kita kini
terkenal sebagai sebuah negara pengeluar produk pembuatan. Bilangan pekerja
sektor pertanian pada tahun 1966 ialah 80.3% daripada keseluruhan jumlah
pekerjaan berbanding 14.9% untuk tahun 2002.
Semenjak tahun 1984,
tiga Dasar Pertanian Negara telah digubal untuk memajukan sektor pertanian
iaitu Dasar Pertanian Negara Pertama (1984-1991) yang memberi penekanan untuk
membangunkan sektor pertanian yang berorientasikan eksport, Dasar Pertanian
Negara Kedua (1992-1997) yang memberi penekanan kepada peningkatan
produktiviti, kecekapan dan persaingan dan Dasar Pertanian Negara Ketiga
(1998-2010) untuk meningkatkan dayasaing sektor pertanian berikutan
liberalisasi perdagangan antarabangsa.
Mengurang
kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan. Malaysia antara negara yang
menjadikan beras sebagai makanan ruji. Oleh yang demikian, kerajaan berusaha
menghasilkan padi dua kali setahun untuk menampung permintaan masyarakat,
selain berusaha mengurangkan import beras dari Thailand. Realitinya, kerajaan
mahu mengurangkan kebergantungan kepada negara luar, memandangkan padi sawah
boleh ditanam di negara ini. Maka, tidak hairanlah apabila kerajaan sedang
berusaha mencari inisiatif supaya padi dapat ditanam lima kali setahun.
Tambahan pula, kadar pertumbuhan penduduk negara yang semakin pesat mendesak
sektor ini tidak boleh dipandang enteng. Secara tidak langsung, pengaliran wang
ke luar negara dapat dikurangkan, di samping menimbangi imbangan pembayaran
negara melalui hasil eskport yang semakin bertambah. Pertanian juga dilihat
sebagai salah satu cara untuk menggalakkan pengaliran wang masuk melalui
pengeksportan hasil pertanian ini ke negara-negara luar.
Selain itu, sektor
ini mampu menyediakan peluang pekerjaan yang cukup besar kepada masyarakat. Di
negara membangun seperti Malaysia, sektor pertanian menyumbang 50 peratus
peluang pekerjaan. Perlu diingat bahawa definisi pekerjaan dalam sektor
pertanian bukan sahaja bekerja di ladang, malahan meliputi pemprosesan dan
pemasaran. Realitinya, masyarakat desa sememangnya bergantung harap kepada
sektor ini memandangkan mereka mempunyai tanah yang luas untuk dimajukan dan
tenaga buruh yang mudah diperolehi. Lagi pula, pekerjaan ini tidak memerlukan
kelulusan yang tinggi berbanding kerja profesional dan separuh profesional.
Malah sektor ini boleh diibaratkan bulan jatuh ke riba kepada golongan kurang
terpelajar untuk tidak bergelar penganggur.
Pertanian juga turut
memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha yang melakukannya.
Pengeluaran pertanian harus menepati aspek pemprosesan, penggredan,
pembungkusan, keselamatan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan kerana
menerusi cara ini pengusaha pertanian mendapat jaminan pasaran tempatan dan
luar negara, memperolehi harga yang lebih tinggi dan seterusnya memperolehi
pendapatan yang lebih baik.
Dengan menceburi
bidang pertanian, secara tidak langsung akan dapat membantu negara memenuhi
keperluan bahan makanan sekaligus mengelakkan krisis makanan daripada berlaku.
Dengan bilangan penduduk Malaysia yang dianggarkan seramai 28.6 juta penduduk
pada tahun 2010 dan dijangka meningkat sehingga 30.5 juta penduduk menjelang
tahun 2020, tentunya keperluan makanan akan semakin meningkat. Masalah
pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran
makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan sebab mengapa terjadinya
krisis kekurangan makanan di dunia. Keperluan bahan makanan yang mendadak yang
tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kekurangan
sumber-sumber adalah amat membimbangkan. Selain daripada isu pertambahan
penduduk, faktor lain yang membawa kepada masalah kekurangan makanan adalah
berpunca daripada kejadian bencana alam yang berterusan. Apabila terjadinya
bencana alam, ladang-ladang pertanian akan musnah dan ada yang terpaksa menukar
tanah-tanah pertanian menjadi kawasan penempatan penduduk. Akibatnya keluasan
tanah-tanah pertanian menjadi semakin kecil. Perubahan cuaca yang ekstrem di
sesetengah negara juga boleh menjadi sebab keperluan bahan makanan semakin
berkurangan. Krisis makanan juga pernah berlaku di Malaysia pada bulan Mac dan
April tahun 2008. Krisis ini terjadi apabila kekurangan beras dan kenaikan
harga minyak mentah global. Ternyata, ia telah meninggalkan kesan yang mendalam
kepada rakyat apabila inflasi berlaku dan harga keperluan makanan naik dengan
mendadak.
Pertanian juga dapat
dijadikan perniagaan apabila konsep agro-pelancongan atau juga dikenali
agrotourism diterapkan. Agro-pelancongan dibangunkan oleh Kementerian Pertanian
Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu dari aspek
promosi. Ia adalah satu konsep pelancongan yang semakin berkembang kerana
Malaysia kaya dengan keindahan alam semulajadinya. Pelbagai aktiviti berkaitan
dengan sektor pertanian dan perladangan disediakan kepada para pelancong.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agro-pelancongan ini adalah
lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, homestay dan sebagainya.
Situasi ini boleh dilihat berlaku ketika musim buah dan menuai di mana pelbagai
acara festival dianjurkan bagi tujuan berhibur dan mendidik masyarakat. Felda
Residence Tekam yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak
(PPPTR), Jerantut, Pahang adalah antara contoh pusat peranginan
agro-pelancongan yang sesuai untuk dikunjungi. Selain menjadi pusat pelancongan
berasas pertanian, resort juga turut menyediakan lawatan ke ladang buah-buahan
di kawasan itu.
Subscribe to:
Posts (Atom)